Saturday, June 20, 2009

Sumber Alam Sihatkan Tubuh

Tubuh yang sihat dan segar bukan hanya boleh diperoleh dengan menggunakan produk kecantikan atau melakukan pembedahan plastik semata-mata, tetapi banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan. Antaranya ialah dengan mengamalkan kaedah tradisional seperti memanfaatkan bahan-bahan di sekeliling, terutama sekali bahan yang sememangnya sentiasa digunakan di dapur.

Bahan sumber alam seperti rempah ratus, sayur-sayuran, atau buah-buahan contohnya, adalah antara yang terbaik untuk diamalkan. Selain bermanfaat pada kesihatan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan terutama di musim gawat.

Kulit kayu manis
Kebaikan kulit kayu manis tidak boleh disangkal lagi. Selain digunakan dalam masakan atau minuman, zat-zat yang terkandung di dalamnya sangat baik terutama hal berkaitan penurunan kadar gula dalam darah serta kolesterol dalam badan.

Halia
Minuman halia kerap dinikmati sebagai bahan membuang angin dalam badan. Manakala untuk kesihatan pula, halia berfungsi dalam menurunkan tekanan darah, mengatasi peradangan serta mengurangkan risiko serangan kanser. Selain itu, halia juga berfungsi untuk memperbaiki sistem pencernaan serta perjalanan darah di dalam badan.

Kunyit
Kunyit bukan sekadar digunakan sebagai perencah dalam masakan tetapi juga baik untuk meredakan rasa nyeri ketika diserang arthritis serta amat baik untuk membantu mencegah serangan penyakit Alzheimer.

Kekacang
Makanan seperti kekacang sememangnya enak dinikmati ketika menonton TV atau sebagai kudap-kudapan di waktu minum petang. Ia kaya dengan potassium, magnesium, zat besi dan sebagainya. Anda boleh taburkan sedikit kacang di atas salad kerana ia bermanfaat untuk merawat kulit, mengurangkan risiko serangan kanser serta baik untuk mengawal kadar kolesterol dalam darah. Ia juga boleh memperbaiki fungsi sistem imunisasi dan pencernaan. Sebaiknya, hindari pengambilan kacang bergoreng. Sebaliknya pilih kacang yang direbus atau dipanggang tanpa menggunakan minyak atau mentega.

Buah beri
Buah-buahan dari jenis beri ini jarang diperoleh dalam bentuk segar. Namun, ia dikatakan baik untuk meningkatkan ingatan, memerangi diabetes serta memelihara kesihatan jantung. Antaranya, beri biru, beri hitam dan beri merah. Buah beri biru antara buah yang tergolong di antara 60 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan antioksidan. Buah strawberi pula kaya dengan vitamin C selain berfungsi untuk melawan jangkitan serta mencegah perkembangan selsel kanser.

Bawang putih
Memakan satu ulas bawang putih sehari baik dimasak mahupun mentah amat baik untuk membantu melindungi tubuh dari serangan kanser serta bermanfaat merawat kesihatan jantung. Bawang putih juga terbukti berkesan dalam mengawal kadar kolesterol di dalam tubuh selain bersifat antibiotic sehingga mampu menghalau bakteria jahat yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain.

Minyak Zaitun
Suatu ketika dahulu, selain menggunakan susu untuk merawat kecantikan, Ratu Cleopatra menggunakan minyak zaitun. Ini kerana, minyak zaitun merupakan sumber antioksidan yang baik, tetapi itu jika sekiranya minyak zaitun ini diambil secara mentah sama ada diminum atau sebagai dressing di dalam salad. Zat yang terdapat di dalamnya boleh hilang jika ia digunakan dengan cara menggoreng makanan. Pengambilan minyak zaitun dalam jumlah yang mencukupi dapat membantu menurunkan risiko serangan kanser payudara.

0 comments:

Post a Comment

Sila postkan komen2 anda disini..